Kesenian Bruce Lee

Falsafah

Lee paling terkenal sebagai seorang artis seni pertahanan diri. Akan tetapi, beliau juga mengambil jurusan drama dan falsafah semasa dia masih merupakan seorang pelajar di Universiti Washington. Beliau celik ilmu dan mempunyai sumber perpustakaan yang luas. Buku-buku pertahanan diri dan falsafah perlawanan beliau adalah terkenal dengan penekanan falsafah, tidak kira dalam atau luar jaringan seni pertahanan diri. Kepelbagaian falsafah beliau sering mencerminkan kepercayaan perlawanannya dan beliau mendakwa seni pertahanan dirinya adalah metafora untuk ajaran sedemikian. Beliau percaya yang setiap pengetahuan akan membawa kepada pengetahuan diri dan menyatakan bahawa dia memilih seni pertahanan diri sebagai ekspresi diri. Pengaruh Lee termasuklah Taoisme, Jiddu Krishnamurti dan Buddhisme. Falsafah Lee bertentangan dengan pandangan dunia konservatif yang dinasihatkan oleh Konfusianisme. John Little menyatakan bahawa Lee merupakan seorang ateis. Apabila ditanya mengenai penglibatan agama, dia membalas, "langsung tiada apa-apa". Pada tahun 1972, beliau ditanya sama ada beliau percaya kepada Tuhan, dan dia membalas, "Secara jujurnya, saya benar-benar tidak percaya".

Puisi

Selain dari seni pertahanan diri dan falsafah yang menumpu kepada aspek fizikal dan kesedaran diri untuk kebenaran dan prinsip, Lee juga menulis puisi-puisi yang mencerminkan emosi dan peringkat hidupnya secara kolektif. Ekspresi diri dari prinsipnya juga diterapkan dalam puisi-puisinya. Anak perempuan beliau, Shannon Lee mengatakan bahawa "Dia sememangnya ada menulis puisi, dia merupakan seorang artis yang berkemahiran tinggi". Hasil kerja puisi-puisi beiiau pada awalnya ditulis dalam kertas, di mana ianya disunting dan diterbitkan. John Little merupakan editor utama bagi kerja-kerja Lee. Linda Cadwell Lee, mengongsikan nota-nota, puisi-puisi dan pengalaman dengan pengikut suaminya. Dia menyatakan "Puisi-puisi Lee, mengikut piawaian Amerika adalah lebih bersifat kelam, mencerminkan sudut-sudut jiwa manusia yang kurang didedahkan". Kebanyakan puisi Lee dikategorikan sebagai anti-puisi atau paradoks. Suasana puisi-puisi beliau boleh disamakan dengan salah seorang penyair terkenal, Robert Frost yang sering mendedahkan aspek diri dengan hasil kerja puisi kelam. Unsur paradoks yang diambil dari simbol Yin dan Yang di dalam seni pertahanan diri juga disepadukan dalam puisi-puisi Lee. Falsafah dan seni pertahanan diri beliau memainkan peranan yang amat besar dalam puisi-puisinya. Gaya bait puisi bebas Lee mencerminkan ayat petikannya yang terkenal "Jadilah tanpa sebarang bentuk...seperti air".